Thursday, October 25, 2012

kisah dimalam eidul adha.

Tak dapat balik kg, entah program apa yg bleh dibuat kt sini..haih.

Usai saja solat isyak Ichou-san (incik perut) mula mendendang lagu.
Ku pun bersiap diri sekadar perlu, hajatnya mahu menuju ke Restoran nana Tanjung.
Sampai separuh jalan ku hampa, restorannya gelap tidak bercahaya. ''Awalnye tutup, smangat raye diorang ni'', getus hatiku.
Tak mengapa lah, Halimah tomyam kelihatan seperti masih beroperasi cam biasa, kotiaw lakna pun kotiaw lakna lah.

Sampai ku di Halimah tomyam, cuba mencari tempat yg sesuai...hampa juga.
Bukan setakat tempat sesuai, tempat yg tak sesuai pun semua kerusi dijajah orang.
Yang berdiri sepertiku pun hampir sama ramai dengan penduduk pada kerusi setiap meja,
dan mata melilau mencari tempat yg mungkin ada yg sudah selesai..ku tidak sukakan persaingan ini.

''Ramai..'' Sapa ku pada si waiter.
''A'ah, biasanye tak ramai camni, ni sebab nana tanjung dengan Din seafood tutup, sebab tu ramai malam ni'', Balas si waiter, Mukanya jelas terpancar penat dan kecewa. Mana tak nye, kebiasaan waktu kemuncak Halimah tomyam pun dia masih mampu menjeling pada kaca tv, tapi tidak untuk malam ni.

Dan dendangan ichou-san makin jelas, lagunya berentak lapar.
Ku mulai hilang pertimbangan, "KFC!'', kedai makanan beracun itu mula menerjah fikiran.
Ku pernah berjanji pada Ichou-san ku tidak akan meracuninya lagi.
Tapi malam ini ku seperti melupai segala, dan langkah mula di hayun laju ke supermarket Giant.

Seperti tidak begitu ramai pelanggan di KFC malam ni.
''Ye incik, makan sini? bungkus?'', Waiter di kaunter bertanya, itu memang tugasnya seperti biasa, beserta pakej senyumannya yg ku harap ikhlas, tak seperti ayam plastik jualan nya.
''Aa..Makan sini.'' Sambil mata memilih menu.
Berkira2 mana yg patut di ambil, snack plate seperti sudah memadai, dengan 2 ketul ayam.
Eh, Dinner plate lah yg sepatutnya, inikan dinner. Akhirnya yg tiga ketul ayam itu ku pilih.

Mulutku hanya sempat melafaz doa, kemudian tidak lagi sempat bersuara, tangan dan jari begitu cepat kerjanya menyuap. Lapar sangat kot :D
Ia tak mudah sebenarnya untuk menghabiskan 3 ketul ayam KFC memandangkn McD lebih dekat dihati.
Tapi ku selesaikan jua, dan ichou-san hanya diam tidak berkata, menerimanya dengan redha.

Selesai,
Menyandarku pada kerusi berwarna ceria itu. tiga ketul ayam berlemak tepu itu benar2 ku habiskan.
Dan bibit penyesalan mula datang. Warasku kembali. Bagaimana ku boleh sampai ke sini?
Ah! hancur dietku, maafkan ku ichou-san.
Perlukah lagi ku berjalan kaki ke tempat kerja seperti dulu? , ia benar memenatkan.  
Longlai ku beserta sesal meninggalkan permis itu bersama ichou-san yg penuh terisi,
Dan terbayang gelak tawa pakcik tua KFC bermuka putih itu, dia pasti gembira malam ini kerana tewasku.

Mata memandang langit malam, mencari bintang yg sembunyi dibalik kelabu awan.
''Ah, bosannya..ape yg kau nk mkn esok ichou-san. bestnye kalau dapat balik kg.''


Selamat menyambut eidul adha.


Monday, October 22, 2012

Ujian sakit dan maut

Kali ini kisahnya nenda pada seorang.
Sakit yg datang sebagai nasihat dan ujian
Kali ni ku benar rasa sedih bercampur simpati.
Ku sudah kelu pada penulisan, apatah lagi lisan.
Keluh..bagaimana lagi harus ku bantu.
Kalau bisa ku memikul rasa yg di rasa, pasti ku sanggup.

Pernah kalian bersemangat kerana senyuman?.

Ada senyuman pada seseorang,..dan ku bimbang senyum itu akan hilang.
Senyuman yg selalu membuatkan ku rasa senang.
_______________________________________

Ku juga pernah merasa yg hampir sama, wlau tak serupa.

11/10/2004, minggu lepas genap 8 tahun ayah pergi bertemu ilahi.
Percayalah, tersenyum ketika dilanda ujian bukanlah sesuatu yg mudah,
Rasanya benar hambar tidak bergula.
Rasanya penuh gundah gelisah.

Biarkan ku ceritakan padamu kisah Mohamed.

Dan ini bukanlah kisah sang ayah yg terhebat..
tapi masih tetap hebat dimata seorang anak - bvkhari.

Ayah ku garang sangat orangnya, :)

Pernah kami dua beradik di lempar bendul pintu kerana ponteng mengaji,
lalu larilah kami sembunyi ke hujung 'baroh'
dirotan kerana ponteng solat? itu sudah rutin biasa.
Dulu kami tidak mengerti..kata kami,'' sayang apa kalau dirotan?''.
Kini, ini adalah kami, hasil rotan ayah yg mendidik.

Pernah dulu..ayah menggoreng nasi,

Lalu ditanya kami mana yg lebih sedap antara yg dia atau emak.
Dan emak hanya tersenyum mengalah, kata emak..ayah memang pandai memasak.
Kami hanya senyum dan diam.
Kami tak memilih siapa yg menghidang , apa saja yg terhidang, yg pentingnya kenyang :D

Dulu..rumah kami tiada rak buku,

lalu, Ayah merentang tali pada dinding dijadikan tempat disandar segala kitab.
Dan bila dia membaca kitab2 nya ku pasti tersenyum,
kami tak perlukan lagi radio,
lagaknya seperti pak khatib melontar khutbah di mimbar,
Di bacanya dengan suara garau dan lantang.

Ayah jarang di rumah, kerjanya memerlukan dia 'berjarah' merata

tapi bila dia kembali dan lagi mahu pergi..akan ada tiga perkara dipesannya;
''Anak2 ayah..
Jangan pernah tinggalkan solat,
Selalulah melazimi alQuran,
Rajinkan diri ke majlis ilmu.''

Kali terakhir waktu sihatnya ku jumpa adalah ketika dirumah salah seorang saudara.

Pesan akhirnya,''Hidup ni sama juga seperti jurutera mmbuat bangunan, asasnya yg perlu dikukuh. Dan asas hidup adalah iman''.



Detik akhirnya, siapa pun tidak lagi dia kenali..wlaupun anak2nya.
Kata doctor sakitnyTuberkulosis, sampainya ke otak lalu tidak lagi selamat.
Dua minggu ayah koma tidak sedar.
Akhirnya Allah menjemput ayah kembali kepadaNya.

Dan bila Ayah sudah tiada, segala kenangan seperti butang rewind pada remote,
semua kembali mengimbau.
Rindu pada rotan ayah, pada khutbah lewat malamnya, pada bendul pintu yg dilempar, pada kitab2 usang nya pada dinding..pada semua.

Dan nasihatnya, kami takkan pernah lupa.

_______________________________________________


Percayalah, Selama didunia, Kita tidakkan pernah merasa cukup bersama yg kita sayang.
Tapi maut itu pasti..sesiapa pun akan merasainya.
Maut itu, kalau tidak hari ini, suatu hari nanti pasti.
Apa yg membezakan adalah bagaimana kita hadapinya, apa yg kita telah sediakan.

Cubalah berusaha ke syurga,
Di sana tempatnya indah dan kekal, 
Disana boleh kita berjumpa bersua, kembali bersama.
Dunia ni tak lama, sekejap sekelip dua mata saja.
Sabarlah.






Tuesday, October 16, 2012

Cerita rezeki.

Seorang anak bertanya kepada ayahnya,"Daddy, Apa itu rezeki?"
Sambil ditangannya ada seketul ayam goreng yg sudah separuh dimakan.

Ayahnya berfikir sejenak, bukan mudah nak menerangkan supaya faham kepada anaknya yg baru berusia 9tahun itu.

''Bak sini ayam tu my son''.

''Tapi.. Daddy belikan ayam ni untuk saye, mungkin daddy kene pi beli lagi satu kalau daddy nak,''
Si anak berat hati untuk melepas pergi ayam goreng yg masih belum lagi habis dinikmatinya.

''My son.. kolestrol berlebihan tak bagus untuk kesihatan.'' Si ayah cuba memujuk anaknya.
(kenapa dibelikan juga ayam tu kalau da tau ayam goreng tu kolestrol kn? =.=!)

Lalu dengan hati seberat kinabalu, si anak menghulurkan ayam goreng itu kepada ayahnya. Dalam hati timbul rasa sesal sebab tak makan abis cepat2 ayam goreng tu.
Bukan mudah untuk mencari ayam goreng sesedap tu di kawasan taman perumahan tempat mereka tinggal, yg ada cuma gerai ayam goreng uncle Obama je, itu pun cepat aje 'sold out' nye. 

Lalu ayam goreng itu di suap kepada kucingnya Najib Ronaldo yg dari tadi berpusing - pusing sambil membuat muka kiut dengan harapan tuannya akan memberikan ganjaran. tricknya itu terbukti menjadi.

''Kenapa Daddy?, Kenapa?", Si anak seperti tidak dapat menerima apa yg ayahnya lakukan.
''Adakah Ronaldo lebih Daddy sayangi?, atau Daddy berniat untuk membunuh Ronaldo dengan meningkatkan kolestrolnya?".

Si ayah tersenyum mendengar spekulasi yg anaknya cuba timbulkan itu.

"My son, rezekimu pada ayam goreng tadi hanya separuh, dan lagi separuh adalah rezeki Ronaldo".

Si ayah pun berlalu menuju ke gerai uncle Obama, meninggalkan anaknya yg masih dalam kebingungan, masih tidak mengerti akan apa yg ayahnya cuba sampaikan.

10 minit kemudian ayahnya kembali dengan membawa sebakul ayam goreng.
Lalu dihulurkan ia kepada si anak.

''Daddy, i just don't get it''. Si anak makin tak faham.

''Rezekimu pada ayam goreng tadi mungkin dah abis, tapi rezekimu yg baru ada dalam bakul ini''

Si anak melihat ke dalam bakul, ia penuh terisi dengan ayam goreng yg agak hangus kehitaman.
 '
'Pemberian daripada uncle Obama, sebab hari ni ayam gorengnya kurang laku''.Terang si ayah.

''My son, Rezeki itu..sesuatu yang amat cantik jalan ceritanya, ia seperti satu drama yg berleret panjang, yg menghubungkan semua makhluk dan insan dengan susunan cerita yg amat unik dan menarik.''

''Rezeki uncle Obama adalah duit daripada kita, Rezeki keluarganya adalah daripada duit hasil ayam gorengnya, Rezeki kita adalah ayam goreng hangus nya, Rezeki Ronaldo adalah ayam mu tadi my son. Begitu la seterusnya berkembang.
Rezeki itu sentiasa ada, dan telah tertetap untuk kita oleh Allah.
Jika tidak disini, mungkin disana. Atau mungkin tidak disana, mungkin dimana saja.
Lihatlah pada burung, Resminya, Ia pergi mencari rezeki pada awal pagi, pulang pada petang hari..dan yg dibawanya hanya makanan untuk hari ini. Kerana percaya ia yg rezeki untuk esok itu akan tetap ada pada esok, dan percayanya ia kepada Tuhannya yg menetapkan rezeki untuknya.
Lihat juga pada hutan2 yg dalamnya ada bermacam binatang, bagaimana mereka hidup.
 Kerana percaya mereka pada ketetapan rezeki oleh ilahi. Tapi, mereka tidak hanya menunggu, ada usaha yg diserta. Do you get it my son?.

Si anak mengelengkan kepala, Mana mungkin anaknya faham, kerana dari tadi yg difokusnya hanyalah pada ayam goreng hangus itu.

''Suatu hari nanti kau akan faham juga my son". Si ayah mengusap rambut si anak sambil satu tangan menjamah ayam goreng, terasa pahitnya ayam goreng hangus tak tersedar menitis suam air mata jantan.
''pahitnye ayam kau Obama."

+++++ End+++++++

Barangsiapa bertawakkal kepada Allah, Nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) - Surah At-Thalaq (3)

Ibn Abi ad-Dunya dan al-Hakim dalam al-Mustadrak menuturkan riwayat dari 'Uqbah ibn Amir as-Sahabi r.a., dia berkata, ''Yang pertama kali mengetahui kematian seorang hamba adalah malaikat penjaga, kerana dia yang membawa naik amal perbuatannya dan membawa turun rezekinya. Jika malaikat penjaga itu tidak keluar membawa rezeki untuknya, beerti dia mengetahui bahawa orang itu telah meninggal.








Tuesday, October 2, 2012

Cerita kisah bonda.

Salbiah binti Abd Rashid.

Dia ini seorang wanita yg paling tabah pernah ku jumpa.
Dan ku adalah yg paling bertuah kerana menjadi salah seorang daripada anaknya.
Anugerah Allah yg amat ku syukuri.
Dia yg mendidik mengajarku tak pernah jemu,
Sabarnya, pengorbanannya seperti tiada tepian.

Dia adalah bondaku.

Suatu ketika, keadaan hidup kami agak sempit.
Pernah, kami makan nasi goreng putih kosong bergaul garam.
Pernah, kami di halau kerana cuba berhutang demi secebis perisa utk makanan.
Pernah juga, kami tidur dengan rumah tidak berdinding dengan atap tidak bersiap.
Tapi, kami masih kuat..
Sebab Allah hadiahkan kami seorang bonda yg hebat.

Dan bonda,
Berbanding kami, kisah bonda lebih derita.
Pernah, kerana ujian berupa sakit menimpa bonda, hampir seluruh kampung memandang serong.
Bertahun menelan makian dan cacian, Bonda masih tenang.
Pernah, Mereka mahu saja kami dihentikan saja sekolah, kata mereka demi meringan beban,
kata bonda..jangan! kerana ilmu itu penting, ilmu itu yg akan membezakan kita sekalian. 
Pernah, bonda tinggalkan kami demi mencari sesuap nasi utk anak2nya,.
Kerana bonda yakin pada anak2nya, walau tanpanya disisi, anaknya masih mampu berdikari.
dan mereka masih tetap sama, tidak pernah henti mengata.
Kata bonda, itu pilihan mereka, ..
hingga sekarang ku masih tertanya,mengapa?
mengapa mengata pilihan mereka? sedang itu bukanlah jalan syurga.
Tapi,. Bonda masih kuat..
Sebab bonda cakap Allah sentiasa bersama org yg sabar..

Ku ingat lagi,
Pernah, lauk hanya tinggal seketul ayam,
Kata bonda, ''makanlah, mak sudah makan''.
Lalu bila lewat malam, ku sempat mengintai dibalik pintu,
Ibu perlahan menjamah nasi kosong berkuah kicap.

Bonda,
Motivasi nasihat sentiasa disuapnya,
Sentiasa mengingatkan kami tentang Allah,
Dan bila kami sakit demam, dialah yg paling bimbang.

Jika di tawar pada ku seisi dunia ditukar dengan bonda?
Ku masih tidakkan terima, dan tidak akan..selamanya
kerana bonda itu harganya tiada nilai pada mata dunia,
tapi pada kami, dialah adalah permata,
Moga Allah sentiasa redha dengan bonda. :)


Selamat hari lahir ye mak :)


your 2nd son,
Bvkhari


 



Monday, October 1, 2012

Sebab ku anok ganung.



Secara jujurnya, ku tak menggunakan bahasa ganung sebagai bahasa perantaraan selama ku merantau di negeri orang.
Tak lah bermakna ku sudah lupa bahasa ganung, melupakan ganung itu sendiri jauh sekali, dan tidak akan.
Cuma bahasa yg ku guna ini memudahkan supaya mereka2 lebih faham dan mudah hadam akan apa yg ku cakapkan.

Kekadang terlintas rasa rindu pada negeri halaman,
Rindu pada bahasanya, pada makanannya, pada suasananya, pada segala.

Kat Sri Manjung ni, tempat yg dah genap lima bulan menjadi tempat persinggahanku ini,.wujud sebuah kedai makan, Restoran Nasi Dagang Pok Ya namanya.
Yep, dengan berlabel nasi dagang itu pastinya kalian mudah meneka bak kacang kuda, ia sebuah kedai yg bercirikan ganung.
Ku sebenarnya agak jarang makan pada waktu puncaknya tengahari di restoran Pok ya atau pun tempat lain diluar kawasan kerja atas sebab makanan free yg ditaja oleh tempat kerja. Alhamdulillah :)

Tapi, Waktu malamnya Restoran Pokya akan ditutup pada ruang dalam, hanya berniaga kecilan ditepi kaki lima kedai bermenu yg limit sahaja; Nasi kukus ayam dara dan keropok lekor terengganu.
Ketika waktu begini ku datang ke sana, bukanlah kerana masakannya yg paling sedap atau murah, tapi kerana suasana yg ada disitu ketika itu.

Sambil menikmati makanan, di sebelah sini akan ada suara anak ganu yg berborak dengan bahasanya, di sebelah sana suami isteri bercerita dalam bahasa yg sama, pekerjanya, tukang masaknya, smuanya dalam bahasa yg membuatkan ku tersenyum sendirian. Dan masing2 menjamah satu rasa, keropok lekor.
Tanpa sedar, di sudut satu bangunan kedai itu, ada ganung kecil yg dibina.

Rasanya seperti..ada kesuaman pada hati.
Rasanya adalah 'lebih ganung' disudut ini jika nak dibanding di sesetengah ganung itu sendiri.
Mungkin kerana berada di negeri orang, lalu kami lebih bersatu hati.

Sebab ku anok ganung