Friday, June 4, 2010

Amanat Ulama' Palestin di Perhimpunan Perdana Palestin

Dipetik dari laman HALUAN
Sebuah ucapan yang membangkitkan semangat.
-----------------------------------------------------------------------------------
Segala Pujian hanya untuk Allah Tuhan Seluruh Alam, selawat dan salam semoga terlimpah atas Imam Para Mujahidin Baginda Muhammad S.A.W., keluarga dan para sahabatnya semua dan kepada sesiapa sahaja yang mengikut petunjuk dan sunnahnya hingga Hari Kiamat nanti.
Saudara-saudaraku sekalian,
Para hadirin yang mulia,
As-Salaamu'alaykum wa Rahmatullahi Ta'ala wa Barakatuh.
Penghormatan dari lubuk hati yang paling dalam dan dasar keluarga kalian rakyat Palestin dan dari umat ini seluruhnya. Mereka dan kami semua menyanjung anda sekalian rakyat Malaysia, Wahai rakyat Malaysia yang agung yang telah memperbaharui kemuliaan umat serta menulis kembali seluruh sejarah kehebatan Palestin, kehebatan Al-Quds dan Al-Aqsa.
Semoga Allah melimpahkan seluruh kebaikan atas pertemuan ini.  Hari ini kita berjumpa demi kebangkitan kemanusiaan dan kebangkitan Islam serta dalam rangka kebangkitan persaudaraan agung yang dibina oleh rakyat Malaysia yang mulia.
Kalian berkumpul semua di sini dalam rangka menghancurkan sekatan dan kepungan terhadap saudara-saudara kalian di Gaza, dalam kaitannya dengan perancangan keberangkatan kafilah-kafilah termasuk kapal-kapal yang bertekad untuk menghentikan kepungan terhadap keluarga-keluarga kalian di Gaza.
Saya memohon kepada Allah agar memberikan Taufiq dan memperkasa gerak kerja kalian, semoga Allah melimpahi kebaikan dan penghormatan kepada Malaysia.
Terima kasih kepada Malaysia, 
Terima kasih kepada para pemimpin Malaysia,
Terima kasih kepada kerajaan Malaysia,
Terima kasih kepada rakyat Malaysia,
Terima kasih atas segala kekuatan yang dikerahkan oleh rakyat serta berbagai kelompok masyarakat, terima kasih kepada semua yang telah anda berikan kepada Palestin.
Terima kasih kepada seluruh NGO dan organisasi amal yang telah bekerja keras dalam rangka menolong keluarga-keluarga kita di Gaza, di Tebing Barat dan di Al-Quds.
Terima kasih secara khusus kepada HALUAN Malaysia yang telah menginisiatif dan mengelola Perhimpunan Perdana ini. Begitu juga, terima kasih kepada semua organisasi yang mendukungnya.
Saya mengenal HALUAN yang sudah melaksanakan banyak program untuk membantu Palestin. Kami meminta kepada Allah agar anda sekalian berjaya mengikut serta dalam menghancurkan sekatan ke atas Gaza.
Oleh yang demikian, saya ingin memberi taklimat ringkas tentang isu Palestin dari dua perpektif;
Perpektif Pertama, Gaza yang hari ini menderita kerana sekatan. Gaza hari ini merupakan penjara terbesar di dunia bahkan penjara terbesar dalam sejarah manusia.
Sejumlah 1.5 juta manusia terperangkap di dalam penjara ini dan tidak boleh keluar mahupun bergerak bebas. Seluruh sempadan ditutup dengan tembok, pintu-pintu sempadan ditutup, dan yang sayang sekali, pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza ke Mesir juga ditutup, tidak dibuka kecuali sekejap untuk beberapa ketika sahaja.
Sehingga hari ini lebih daripada 500 rakyat Palestin telah syahid kerana tidak mendapatkan rawatan sakit disebabkan dihalang keluar daripada Gaza.
Hari ini, Gaza menderita parah kerana sekatan,  kebuluran dan hukuman kejam yang dijatuhkan terhadap diri mereka.
Apakah dosa sebenarnya yang telah dilakukan oleh rakyat Gaza untuk mereka dihukum seperti ini?
Demi Allah! Sama sekali mereka tidak melakukan apa-apa pun kecuali kerana mereka memilih HAMAS (Gerakan Perjuangan Islam) melalui suatu pilihan raya yang bebas dan demokratik pada tahun 2006 sekaligus tidak mengiktiraf Rejim Israel.  Sebagaimana juga penduduk Tebing Barat yang pada pilihan raya itu juga telah memilih HAMAS kerana mereka yakin memerlukan perjuangan (muqawamah). Mereka merasa wajib memilih jalan juang ke atas Israel dan memilih pemimpin yang komited membela dan menjaga bumi Al-Quds, pemimpin yang berdedikasi menjaga hak rakyat Palestin untuk pulang ke negaranya, dan pemimpin yang bersungguh-sungguh menjaga hak-hak rakyat Palestin. Mereka juga telah memilih pemimpin yang berpegang teguh menjaga kewibawaan Palestin.
Rakyat Gaza sekarang dihukum secara besar-besaran dan kolektif kerana mereka memilih untuk melawan kehendak penjajah Israel dan Amerika Syarikat, serta melawan semua syarat yang diajukan oleh Eropah yang zalim. Gaza hari ini dihukum kerana keteguhannya berdiri di hadapan wajah kezaliman serangan Zionis Israel dua tahun yang lepas. Hari ini, Gaza membayar keteguhan, ketegaran dan kemuliaannya dengan menderita keparahan, luka-luka dan kelaparan serta terhalangnya seluruh warganya keluar. Sikap teguh ini telah menggagalkan kejahatan serta sekatan ke atasnya. Sebaliknya Gaza akan berjaya dan memenangkan pertempuran panjang ini, tetapi kepastian kemenangan itu datangnya dari Allah. Itu sudah pasti.
Warga Gaza telah membuktikan keteguhan dua tangannya tetapi keteguhan ini juga ada di tangan kalian, bangsa Arab dan bangsa Muslimin, dan di tangan seluruh warga dunia yang merdeka, yang tidak akan berdiam terhadap kekejaman sekatan, kebuluran serta hukuman kolektif yang ditimpakan terhadap Gaza. Oleh sebab itu, sikap anda di sini dan bertemunya anda di sini serta bantuan anda semua dalam mengumpulkan dana sekaligus meyakinkan para dermawan agar ikut serta dalam menerobos sekatan di Gaza merupakan usaha mulia. Kalau keluarga-keluarga kita di Gaza berjihad dengan nyawa, darah, tubuh badan serta penderitaannya, anda sekalian berjihad bersama seluruh manusia merdeka di seluruh dunia dengan harta, dengan kata-kata, dengan sikap, dengan seluruh gerakan kafilah-kafilah ke Gaza, dengan kapal-kapal yang menembus sekatan, sampai Zionis tahu bahawa sekatan mereka hakikatya telah gagal.
...sehinggalah seluruh pelosok dunia mendengar teriakan kita, "SEKARANG MASANYA MENGHENTIKAN SEKATAN!"
...dan tempat yang terhormat ini tidak ada yang lebih terhormat, selain Turki, Malaysia, Indonesia dan seluruh warga dunia merdeka, semoga Allah melimpahkan kepada kalian seluruh kebaikan.
Kami akan mendoakan bagi kamu ganjaran yang besar di sisi Allah sebelum datangnya ganjaran kemuliaan dari manusia.
Sudut pandang kedua, adalah Al-Quds.
Wahai saudara-saudariku, 
Hari ini telah sempurna penjajahan ke atas Al-Quds. Telah sempurna pengusiran atas saudara-saudara kita di Al-Quds, pembinaan mukim-mukim Yahudi di Al-Quds, telah menghancurkan tempat-tempat bersejarah kita di Al-Quds, di Al-Khalil dan di Betlehem serta yang paling berbahaya adalah apa yang berlaku di Masjidil Aqsa.
Saudara-saudaraku, kiblat pertama Anda dan kita semua. Masjid yang agung dan penuh barakah ini, yang menjadi tempat Isra' Nabi kita Muhammad Sallallaahu 'alayhi wa sallam, dan kemudian bermi'raj daripadanya ke langit, semoga selawat dan salam serta keberkatan terlimpah atas beliau. Al-Quds dan Al-Aqsa merupakan pintu gerbang bumi ke langit, dan inilah jalan kekasih kita Muhammad SAW dalam perjalanannya yang penuh barakah dan agung ke langit-langit pertama. Hari ini Al-Aqsa diambang keruntuhan akibat penggalian-penggalian yang menghantarnya menuju kehancuran dan kemusnahannya, serta pembinaan Haikal Yahudi yang diagungkan di atas tanahnya. 
Tahukah kalian bahawa ada 10 sinagog Yahudi yang sudah dibangun di sekitar Masjidil Aqsa, sebagaimana yang kalian ketahui dalam dua bulan baru-baru ini telah dibina sinagog Kharab dan sedang disiapkan pembangunan sinagog lain yang bertujuan merosak imej Al-Quds yang lama.
Imej Al-Quds akan dirampas dan diubah hingga kaum Muslimin nanti tidak akan mengenali lagi Masjidil Aqsa dan Kubah As-Sakhra. Sungguh mereka benar-benar menginginkan terjadinya perubahan imej ini dan mengatur kehancuran Al-Quds terjadi di depan mata kepala seluruh dunia. Apakah kita akan berdiam diri atas kejahatan ini?
Al-Quds akan menjadi (milik) Yahudi, dan Al-Aqsa akan menjadi puing-puing dan adalah tanggungjawab kita semua dan Anda sekalian akan hal ini. Ini merupakan tanggung jawab sejarah kita. 
Tetapi di atas itu semua, wahai saudara-saudaraku, tenangkan diri kalian bersama kami rakyat Palestin, kerana kami terikat sumpah dan amanah, insya Allah, kami bersama kalian wahai saudara-saudaraku.
Kami berterima kasih atas sikap kalian yang agung dan saya memohon kepada Allah agar Dia menjaga kalian, selalu bersama kalian, dan menambahkan kepada kalian dan kepada kita semua seluruh kebaikan yang banyak.
Was-Salaamu'alaykum wa Rahmatullahi Ta'al wa Barakaatuh.
Damascus, 5 Mei 2010

No comments: